Sentuhan wanita pada Masjid Sakirin



DUNIA sememangnya mengiktiraf bakat wanita - baik dari sudut kepimpinan mahu pun penampilan kreativiti serta cetusan idea yang menarik. Pengiktirafan itu bercambah setiap tahun. Meneruskan senarai ialah Zeynep Fadillioglu. Beliau mengukir nama sebagai wanita pertama melakar rekaan dalaman masjid sehingga terdirinya Masjid Sakirin di Istanbul, Turki.

Masjid yang siap sepenuhnya dan dibuka kepada umum pada Mei tahun lepas itu mempunyai keunikan tersendiri berbanding 80,000 masjid yang terdapat di Turki. Sentuhan wanita berusia 53 tahun itu sangat berbeza, moden dan realis. Hampir keseluruhan dindingnya diperbuat daripada kaca. Mimbarnya pula yang juga elemen terpenting dalam pembinaan sebuah masjid sebagai penunjuk arah Kiblat dibina dengan sentuhan sangat dramatik, berwarna biru dan keemasan. Air pancut yang menambahkan lagi keunikan masjid itu pula terletak di tengah halaman dengan kolamnya diperbuat daripada besi tahan karat mewakili bentuk dunia.

Semestinya, air tangan Zeynep itu bukan yang pertama. Beliau merupakan pemenang pelbagai anugerah reka bentuk dalaman. Selain Masjid Sakirin, beliau telah diberi kepercayaan mereka bentuk pelbagai jenis bangunan termasuk restoran dan kediaman dengan gaya moden dan kontemporari. Masjid Sakirin terletak berhampiran jalan masuk ke kawasan perkuburan Karacaahmet di daerah Uskudur. Pembinaannya dibiayai oleh Ibrahim dan Semiha Sakir - pasangan keluarga kaya yang terkenal dengan sifat pemurah mereka.Tumpuan rekaan masjid itu adalah pada sentuhan modennya tanpa meminggirkan ciri-ciri kawasan untuk umat Islam menunaikan solat.

Identiti

Berbeza dengan masjid-masjid lain yang mengekalkan rekaan klasik Uthmaniah, penampilan Masjid Sakirin ternyata membawa identiti tersendiri yang dikagumi dunia sehingga mendapat liputan meluas media antarabangsa.
Kepercayaan kerajaan Turki terhadap Zeynep membuktikan bahawa wanita Islam juga boleh melakukan perkara yang sejak sekian lama didominasi oleh lelaki. "Ia merupakan perkara yang sangat menarik tetapi tetap menakutkan. Saya berbangga dapat melakukan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan," kata beliau ketika ditanya perasaannya dilantik untuk menyiapkan projek tersebut.

Penampilan Zeynep dengan rambut berwarna perang, menggayakan cermin mata dan pakaian berjenama mahal mungkin pada pandangan umum tidak sesuai untuk melakukan tugasan sebegini. Akhbar-akhbar telah menamakan masjid itu sebagai "masjid untuk golongan kaya" kerana Zeynep dikenali sebagai pereka yang banyak terlibat dalam projek profil tinggi. Namun beliau tetap menganggap dirinya sebagai orang yang berpegang teguh kepada agama sebab itu reka bentuk dalaman masjid itu sarat dengan nilai artistik dan spiritual.

Zeynep menarik perhatian bahawa jika beliau bukan seorang Islam pun, kerja-kerja rekaan dalaman masjid itu tetap boleh dilaksanakan cuma perasaan dan nilainya tidak begitu mendalam. Untuk memastikan kesempurnaan rekaannya, wanita itu bekerjasama dengan pakar agama dan pakar kesenian Islam. Kesemuanya itu, menurut Zeynep, bukan bertujuan mendefinisikan semula agama tetapi interpretasi kesenian dan nilai-nilai Islam dalam bahasa seni.

Petikan Utusan Online