Sejarah Valentine Day & Hukum Menyambutnya Ustaz Azhar Idrus


Sejarah Valentine Day

Valentine adalah nama seorang pendeta Nasrani yang hidup di abad ke-3 Masehi. Hari Valentine adalah semata-mata perayaan agama Nasrani atau penganut Kristian yang bertujuan untuk mengenang salah seorang tokoh mereka.

Ensiklopedia Katolik menyebut tiga riwayat berkaitan Valentine, tetapi yang paling terkenal adalah apa yang disebutkan sebahagian kitab mereka yang menyatakan bahawa pendeta Valentine hidup pada abad ke-3 Masehi pada masa pemerintahan Maharaja Rom Kalaudis II.

Pada 14 Februari 270 M, maharaja ini menjatuhkan hukuman mati ke atas pendeta tersebut kerana menentang pemerintahannya. Kesalahan pendeta tersebut kerana telah mengajak masyarakat kepada agama Nasrani.

Riwayat lain menyatakan, maharaja memandang bahawa askar bujang lebih sabar dalam peperangan berbanding mereka yang sudah berkeluarga. Para suami selalu berusaha menolak untuk pergi berperang. Oleh kerana itu, maharaja mengeluarkan perintah yang melarang perkawinan, akan tetapi pendeta Valentine menentang perintah itu dan tetap melakukan perkahwinan di gerejanya secara sembunyi, hingga diketahui pemerintah lalu memerintahkan penangkapan terhadap pendeta itu dan memenjarakanya.

Dalam penjara pendeta berkenalan dengan seorang gadis, puteri salah seorang penjaga penjara. Gadis itu mengidap satu penyakit, lalu bapanya meminta kepada pendeta agar menyembuhkanya. Setelah diubati, tak lama kemudian gadis itu sembuh –sebagaimana yang diceritakan dalam riwayat itu- dan pendeta itu jatuh cinta kepadanya. Sebelum dihukum, pendeta telah mengirim kepada si gadis itu satu surat yang tertulis: “Dari yang tulus Valentine.“ Sebelum kejadian itu juga gadis tersebut telah masuk agama Nasrani bersama 46 orang kerabatnya.

Riwayat ketiga menyebut bahawa suatu ketika agama Nasrani tersebar di Eropah, terdapat satu bentuk ritual keagamaan di salah satu kampung yang menarik perhatian para pendeta, di mana para pemuda desa berkumpul di pertengahan bulan Februari dalam setiap tahun. Mereka mencatat seluruh nama gadis desa lalu memasukannya ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda diberi kesempatan untuk mencabut satu nama, dan nama gadis yang keluar itulah yang akan menjadi kekasihnya sepanjang tahun itu. Mereka padaketika itu terus mengirim kepada si gadis sepucuk surat tertulis di atasnya: “Dengan menyebut nama Tuhan Ibu aku kirim kepadamu surat ini“. Hubungan cinta ini berlanjutan sehingga melewati satu tahun.

Para pendeta memandang bahwa ritual tersebut dapat mengukuhkan akidah orang-orang Rom, dan mereka menyedari bahawa ritual ini sukar untuk dihapuskan, oleh itu mereka menetapkan untuk megubah kalimat yang diucapkan para pemuda itu dari “Dengan menyebut nama Tuhan Ibu“ menjadi: “Dengan menyebut pendeta Valentine,“ sebab ia adalah simbol Nasrani, dan dengan cara itu mereka dapat mengaitkan para pemuda ini dengan agama Nasrani.

Ada yang menyebut sejarah sambutan Hari Kekasih, termasuk yang dikaitkan dengan pesta sambutan Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia, kisah mubaligh Kristian Saint Valentine dan juga sempena musim mengawan burung pada 14 Februari.

Itulah beberapa gambaran kisah disebalik Hari Kekasih @ Valentine Day dan semua berkaitan agama Nasrani @ Kristian. 

Hukum Sambutan Valentine Day

Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 2005 telah memutuskan bahawa sambutan Hari Kekasih adalah haram bagi seluruh umat Islam.

Sebagaimana yang telah termaktub di dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah dan disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ini sebagaimana yang firman Allah S.W.T.:

Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. (Al-Hajj : 67)

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda:

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” (Hadis riwayat al-Nasaai, no: 959.)

Oleh itu hendaklah umat Islam hanya membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu 3 kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Mawlid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Qur’an dan lain-lain lagi.

Terdapat larangan daripada baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabdanya: Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka. (Hadis riwayat Imam Abu Dawud, 3512.)

Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan, membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal.

Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Syaikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”

Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan Hari Valentine ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya:

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Al-Israa’ : 32)

Kuliah Ustaz azhar Idrus mengenai Hari Valentine :