Laman Facebook Page Murtad Menghina Islam

Antara status menghina Islam yang dimuat naik pemilik akaun.

ROMPIN – Tindakan yang tegas dan setimpal terhadap pemilik akaun Facebook ‘Murtads In Pantai Timur’ patut diberikan oleh pihak yang berkenaan kerana ia dibimbangkan boleh mempengaruhi dan menyesatkan pemikiran umat Islam di negara ini.

Menurut Kadi Daerah Rompin, Adnan Mamat, hukuman yang setimpal berdasarkan undang-undang yang ada sepatutnya dikenakan agar ia menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab seperti ini.

“Kewujudan akaun Facebook ini dimaklumkan seorang kakitangan Pejabat Agama Islam Rompin kepada saya dan ketika pertama kali melihatnya ia sangat menyentuh perasaan seolah-olah pemilik akaun menjadikan Islam itu bagai permainan.

“Saya anggap ini suatu kes besar dan ia mungkin boleh merosakkan akidah umat Islam negara ini,” katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan Kelab Anak Muda Indera Mahkota (KAMI) telah membuat laporan polis mengenai sebuah akaun Facebook yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.

Dalam pada itu, Adnan turut menasihati golongan ibu bapa supaya memantau kegiatan anak-anak yang mempunyai akaun laman sosial agar mereka tidak terpengaruh dengan dakyah akaun Facebook seperti ini.

“Apa yang terjadi ini boleh dikatakan salah satu keburukan yang wujud dalam era laman sosial dan pihak berkenaan perlu memandang serius serta mengambil tindakan sebelum sebarang perkara tidak ingini berlaku,” katanya.

Tinjauan wartawan Sinar Harian semalam mendapati laman akaun Facebook ‘Murtads In Pantai Timur’ sudah tiada, namun menemui akaun 'Murtads In Kelantan'. Bagaimanapun, selepas jam 4 petang semalam mendapati akaun itu sudah tidak aktif.