Persoalan :
- Mengapa orang islam ada yang bertudung dan ada yang tidak bertudung? Ada yang solat dan ada yang tidak solat?
- Mengapa agama islam sangat sempurna tetapi tidak penganutnya?
- Mengapa orang bukan islam tidak tertarik dengan islam sedangkan agama islam cukup indah dan agama yang terbaik dari semua hal?
- Mengapa islam dipandang enteng dan buruk di mata masyarakat?
Bagi saya persoalan-persoalan ini saling berkait, iaitu menyentuh bab akidah dan iman. Tengok IC agama islam, tengok empunya tiada persis keislamannya. Mengapa?
Kita perlu tanya pada diri semula, "kenapa IC kita islam?"
ISLAMNYA KITA
Apabila kita telah dilahirkan dalam Islam, kita telah secara langsung terikat untuk berada di dalam lingkungan agama suci itu, dan menjadi penganutnya hingga hujung nyawa. Ini kerana, Islam adalah agama yang akhir dan benar yang akan membawa penganutnya ke destinasi terakhir yang kekal abadi, syurga.
Sepatutnya kita merasa beruntung apabila dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga Islam, kerana melaluinya kita belajar mengenal Tuhan. Sebagai seorang Islam, kita mempunyai Al-Quran sebagai panduan utama yang merangkumi kesemua perkara dengan lengkap. Kita juga punya hadis-hadis sahih untuk dijadikan pegangan dan tauladan dalam menjalani kehidupan seharian.
Jadi soal mengapa mereka yang telah dilahirkan sebagai Islam tetapi tiada perwatakan sebagai seorang penganut islam sepatutnya difahami. Kerana pada dasarnya agama Islam itu sendiri telah sempurna dan lengkap, seperti firman Allah SWT :
"Dan pada hari ini telah Aku sempurnakan agama kamu, dan Aku redha Islam itu menjadi agamamu" (Al-Maidah:3)
Malah islam sesekali tidak pernah memaksa penganut agama lain untuk memasuki islam. Tidakkah ia melambangkan betapa mulianya agama yang kita anuti?
"Tiada paksaan untuk memasuki Islam" (Al-Baqarah : 256)
AGAMA NADI KEHIDUPAN
Agama akan membentuk akidah yang sahih. Agama melatih melalui ibadah yang berterusan dan kesan kehidupan beragamalah akan melahirkan akhlak mulia. Akidah, ibadah dan akhlak merupakan ramuan penting kerana gabungan inilah yang akan membentuk tanggungjawab seorang hamba yang istiqamah dalam mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.
Justeru, kita wajar menjadikan agama sebagai batu asas dalam soal membuat setiap pertimbangan kehidupan. Jika kita salah memilih jalan, maka kita akan tersesat. Segala urusan yang kita lakukan seharian, serba tidak kena.
Sebagai contoh :
Kita selalu dengar cerita pengkhianatan sesama sahabat dalam perniagaan, pekerjaan dan politik. Amat rapuhnya persahabatan jika dibina atas kepentingan diri masing-masing.
Tanpa iman, maka tiada kasih sayang hakiki dalam persahabatan. Carilah iman dan persahabatan atas dasar iman. Jika kita pernah merasai kemanisan iman dan persahabatan atas nama iman, maka kita akan tahu bahawa persahabatan palsu itu rasanya amat pahit dan meloyakan.
Sebab itulah kita sering diingatkan supaya berhati-hati dalam setiap langkah kehidupan. Lahirnya jiwa yang baik akan membawa kebaikan, sebaliknya jiwa yang jahat membawa kemudaratan kepada empunya diri.Semoga kita tergolong dalam golongan orang yang kuat akidahnya.. amin.. insyaAllah
(http://www.puspitakirana.com)