Aku menyebarkan perkara-perkara islamik juga ilmiah. Itu bukan bererti aku alim apa lagi ustazah. Aku tidak layak. Aku hanyalah hamba-NYA yang masih lagi bertatih melawan hawa nafsuku sendiri dalam mehnah yang penuh resah juga payah. Ya. Mujahadah itu susah kerana syurga itu indah. Berkali-kali aku tersungkur rebah. Berkali-kali juga aku berdarah. Terhumban, berhempas-pulas melawan nafsu amarah juga nafsu yang kian serakah. Aku pendosa tanpa noktah.
Namun, aku berpegang pada kalimah Lahawlawalaquwwataillabillah, Lailahailallah, La ta'issu min rowhillah.
Hanya kepada DIA aku berserah.
Ku tahu dosaku menggunung tinggi.
Ku tahu dosaku seluas lautan di bumi.
Ku tahu dosaku tidak pernah menyepi.
Tapi,
Ku juga tahu cinta-NYA tidak pernah menyepi dan tidak pernah bertepi. Cinta-NYA selalu hadir dalam jiwa, hati dan diri ini. Walau sebesar mana dosaku, Walau setinggi mana lautan badai ujian menghempas diriku, DIA sentiasa bersamaku dan tidak pernah meninggalkanku. Berkali-kali aku istighfar. Berkali-kali juga aku kalah dek nafsu yang tegar.
Namun,
DIA masih mencintaiku.
DIA memberi aku peluang untuk terus bernafas dalam jiwa hamba dan memohon keampunan dari-NYA.
Ya Rabbi!
Betapa hebat cinta-Mu Ya Allah! Hingga cinta lain hanya mampu menunduk dan membisu tatkala cinta-Mu menyapa diri yang berdosa ini! Sungguh.
Aku lah pendosa tanpa noktah.
Yang seringkali rebah dan tersungkur dek nafsu yang serakah.
Namun,
Aku takkan pernah menyerah! Akan ku terus bermujahadah hingga aku dapat menggapai Mardhotillah! Biar apa pun cubaan mendatang, Akan ku terus perjuangkan demi cinta Al-Rahman. Selagi maut belum menjemput, Selagi itu aku akan terus-terusan mengemis secebis cinta dari-Mu. Selagi itu juga aku akan terus-terusan memohon keampunan-Mu.Kerana aku tahu, akulah pendosa tanpa noktah itu.
*Artike sumbangan daripada Hurun Ain, Follow beliau di twitter @hurunurain