Rahsia...Di sebalik Kewajipan Solat




IBADAT solat difardukan ke atas setiap Muslim bagi menunjukkan kepatuhan penuh ikhlas seorang hamba terhadap pencipta-Nya Yang Maha Esa. Solat sebenarnya mempunyai seninya yang tersendiri di samping 1001 rahsia yang belum dirungkai sepenuhnya, kecuali kita mengetahuinya sebagai ibadat diwajibkan ke atas setiap umat Islam.
Rahsia ketenangan dapat dirasai apabila dapat mengerjakan solat dengan betul dan khusyuk. Solat yang ditunaikan dengan rasa khusyuk, tawaduk dan hanya mengharapkan keredaan Allah SWT semata-mata, akan membuahkan kenikmatan dan rahmat yang memenuhi segala aspek kehidupan dunia dan akhirat.

Baru-baru ini Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dengan kerjasama Masjid Umar Al-Khattab telah menganjurkan seminar 'Solat dari Perspektif Sains' di Bukit Damansara pada 23 Januari lalu.
Program tersebut telah menghimpunkan seramai 200 orang hadirin yang terdiri daripada saudara Muslim, mualaf dan penduduk setempat.

Pengarah Program, Mohd. Mustaqiim Asmuji yang juga selaku Ketua Unit Dakwah Penyelidikan berkata, program tersebut telah memberi pengetahuan kepada peserta cara dan. kaedah menyempurnakan ibadah solat dengan pergerakan serta postur badan yang betul ketika bersolat.

"Ia ini juga mendedahkan peserta kepentingan penjagaan kesihatan, sekali gus menerangkan kebaikan solat dalam penjagaan kesihatan yang betul yang telah terbukti melalui alatan-alatan yang digunakan dalam kajian solat yang telah dijalankan.

"Pergerakan rukun dalam solat yang membabitkan angkat tangan ketika niat, takbirratullihram, sujud, rukuk, duduk iktidal sehingga memberi salam sebenarnya mempunyai rahsia tersendiri seperti satu senaman ringan. "Program ini juga menyelidiki hikmah dan kesan terapeutik perubatan daripada pergerakan ibadat solat yang sempurna kepada kesihatan manusia. Solat sebagai suatu aktiviti fizikal unik yang ditunaikan secara berterusan memainkan peranan penting dalam memelihara keseinambungan sistem fisiologikal manusia yang meliputi kesihatan fizikal, mental, rohani dan emosi," kata Mustaqiim.

Selain itu tambahnya, para peserta juga diberi peluang untuk melakukan teknik-teknik pergerakan solat yang betul dalam 13 rukun yang dipimpin oleh penceramah undangan.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Datuk Wan Mansor Abdullah selaku Pengerusi Masjid Umar Al-Khattab.
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim telah menyampaikan empat modul kepada peserta antaranya adalah 'Komposisi Badan'. Komposisi badan ketika dalam keadaan rukuk, berdiri tegak, sujud, duduk antara dua sujud, duduk tahiyat dan salam dapat menghasilkan keputusan rawatan pada otot, pelancaran aliran darah, membantu proses pengepaman jantung dan melancarkan aliran darah ke otak.

Solat umpama senaman ringan dan berpuasa juga umpama diet yang baik kerana aktiviti ini boleh meningkatkan kadar pembakaran badan dan menurunkan kolestrol badan serta dapat menghindar penyakit jantung dan kegemukan.
Modul 'Solat dari Perspektif Sains kepada Jantung' pula menekankan sujud kerana ia adalah postur yang terbaik untuk kesihatan jantung kerana keadaan ini adalah sesuai dengan tarikan graviti yang akan mengakibatkan lebih banyak darah mengalir ke otak dan menjadikan otak lebih sihat dan cergas.

Pergerakan solat juga disyorkan kepada pesakit kardiovaskular sebagai suatu senaman iaitu dengan bersolat selama 30 minit yang bersamaan 12 rakaat bagi setiap hari untuk mendapatkan kesan yang efektif. Kajian telah membuktikan bahawa kadar denyutan jantung adalah paling rendah pada kedudukan sujud ini adalah kerana nada jantung yang nominal adalah baik untuk jantung dan nilai prognostik denyutan jantung dalam populasi yang sihat juga menjadi penentu kepada faktor risiko penyakit kardiovaskular.

Modul 'Terapi Sakit Pinggang' pula telah dibuktikan dengan melampirkan beberapa kajian analisis yang dapat memulihkan fungsi otot-otot dan merawat sakit pinggang dengan kaedah bersolat. Postur dan pergerakan solat boleh digunakan sebagai salah satu rawatan pemulihan alternatif untuk menyembuhkan atau mengurangkan sakit pinggang bukan sahaja kepada pesakit pinggang yang kronik tetapi juga disyorkan kepada wanita mengandung.

Keputusan analisis kajian telah menunjukkan peningkatan dan kesan positif kepada pesakit mati pucuk selepas melakukan solat dalam penerangan Modul 'Terapi Mati Pucuk'. Pergerakan solat juga melancarkan perjalanan darah di sekitar otot lantai pelvik untuk pemulihan ke atas pesakit.

Majlis diserikan lagi dengan majlis penutup dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah yang disampaikan Pengarah Dakwah Perkim Kebangsaan, Abdul Hanif Harun.



Petikan Utusan Malaysia Online