Tips Terbaik Memilih Sahabat Menurut Islam


Adakah kita sedar betapa besarnya pengaruh kawan dalam hidup kita? Pengaruh ini sangat besar, jika tidak berhati-hati dan kukuh jati diri, tidak mustahil kita boleh terikut-ikut budaya yang dibawa oleh kawan

Ramai yang menganggap bahawa seorang individu yang memilih kawan adalah tergolong dari golongan yang cerewet dan ‘perasan bagus’, malah ada yang mengkritik tindakan seumpama itu dengan mengada-ngada serta tidak wajar dijadikan amalan.

Namun hakikatnya, ramai yang tidak tahu bahawa Islam sebenarnya menggariskan kepada umatnya untuk memilih di dalam menjalin persahabatan.

Rasulullah SAW sendiri banyak memberi pesanan berkaitan mencari kawan seperti yang berbunyi: 
“Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.” (Hadis riwayat al-Hakim).
Dalam satu riwayat lain, Rasulullah bersabda: 
“Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya.” (Hadis riwayat Abu Daud).
Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy’ari, menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, 
“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”
Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik?

Nasihat yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah SAW) kepada anaknya, “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut.”

Pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.

Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya).

Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukkan dirimu ia suka menutupinya.

Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

Pilihlah sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.

Justeru itu, dalam memilih sahabat kita hendaklah bersikap memilih yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia.

Sebagai umat Islam di zaman moden dan serba maju ini, sewajarnya kita berhati-hati dalam memilih rakan kerana persahabatan itu mampu mempengaruhi kehidupan sama ada membawa kebaikan atau hanya bakal mendatangkan kerosakan kepada kita.

Sesungguhnya Islam memberiahu bahawa rakan yang baik membantu kita ke arah pencapaian matlamat, iaitu kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat, manakala rawan yang tidak baik pula hanya membantutkan usaha kita ke arah itu.

0 comment... add one now