Petua Islam Untuk Mendapatkan Anak Soleh dan Solehah


Petua Islam Untuk Mendapatkan Anak Soleh dan Solehah :

1. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 
“Seseorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, maka engkau akan beruntung. (Hadis Riwayat al-Bukhari)
2. Hendaklah membaca doa sebelum melakukan hubungan seks agar terhindar daripada gangguan syaitan. Rasulullah s.a.w. telah mengajar kita seperti dalam satu hadis Baginda bersabda: “Sekiranya seseorang di antara kamu ketika hendak mendatangi isterinya, maka hendaklah membaca: “Bismillah, Allahumma jannibnas Syaitana wajannibis syaitana ma razaktana. 

Maksudnya: Dengan nama Allah. Ya Allah, jauhkanlah syaitan daripada kami dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami. Jika Allah takdirkan (dengan hubungan tersebut lahir) seorang anak, maka syaitan tidak boleh memudaratkannya.” (Riwayat al-Bukhari)

3. Hendaklah mengambil berat bayi yang berada dalam kandungan ibunya. Perhatian itu sama ada kesihatan bayi yang dikandungnya, mahupun sifat-sifat yang akan diturunkan daripada ibu kepada anaknya.

4. Seorang ibu hendaklah sedar terhadap apa yang dikerjakan sehariannya agar tidak melakukan perkara buruk yang akan mempengaruhi bayinya nanti.

5. Hendaklah menerima dengan senang hati bayi yang dilahirkannya sama ada perempuan atau lelaki. Kerana ada di kalangan pasangan yang tidak suka jika lahir anak perempuan. Sikap ini adalah sifat jahiliah yang perlu dijauhi. Orang Quraisy pada zaman jahiliah apabila lahirnya anak perempuan, maka mereka membunuhnya. Begitu juga kadang-kadang Allah s.w.t. menguji ibu dan ayah dengan anak yang kurang sempurna seperti buta, bisu, pekak. Sekiranya ibu bapa itu menerima dengan berlapang dada, maka ia tetap berasa senang.

6. Memberi nama anak yang baik. Sesungguhnya anak berhak untuk diberi nama yang baik dan manis didengar. Nama itulah yang akan mewakili dirinya untuk kehidupannya kelak. Oleh itu, janganlah tersalah memberi nama. Janganlah diberi nama yang ada unsur atau menyamai dengan agama lain atau ahli maksiat dan orang yang terkenal kejahatannya. Berilah nama yang dianjurkan seperti nama yang menunjukkan perhambaan kepada Allah, nama Nabi dan orang yang soleh.

7. Memberikan anak itu rasa aman dan tenteram daripada hal yang menakutkan dan perkara yang boleh merosakkan akidahnya. Jangan suka menakutkan dengan mengatakan kepadanya ada hantu kerana ia boleh merosakkan mental dan agamanya.

8. Memberi pendidikan agama yang cukup.

9. Menjaga kesucian anak itu dengan menikahkannya sekiranya rasa perlu dan mampu untuknya.

Demikianlah panduan, tips, cara berkesan yang dianjurkan Islam atau petua mendapat anak soleh ini yang boleh kita jadikan panduan dalam mendidik dan menerima amanah Allah ini.

Semoga kita semua mendapat anak soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kita di dunia dan akhirat