Solat hajat mohon Pesawat MH370 selamat


SHAH ALAM – Dewan Ulama Pas menganjurkan solat hajat bagi memohon keselamatan dan kejayaan operasi menyelamat pesawat Malaysia Airlines Boeing 777 penerbangan MH370 yang dilaporkan hilang sejak awal pagi tadi.

Menurut Ketua Penerangannya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri, Dewan Ulama Pas mengarahkan seluruh ahlinya untuk memimpin solat hajat bersama masyarakat selepas Isyak’, malam ini.

“Dewan Ulama Pas berkongsi kesedihan dan kebimbangan ahli keluarga terhadap status keselamatan 239 penumpang MAS MH370 dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing yang terputus hubungan dengan menara kawalan 2.40 pagi tadi.

“Untuk itu Dewan Ulama Pas mengarahkan seluruh ahli Dewan Ulama memimpin solat hajat bersama masyarakat selepas Isya' malam ini memohon kepada ALLAH keselamatan dan kejayaan operasi mencari pesawat yang hilang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara operasi mencari terus dijalankan oleh pihak berkuasa, Dewan Ulama Pas berharap pihak yang terlibat dapat bersabar dengan ujian yang berlaku.

#Pray4MH370