Setelah kita mengetahui mengenai Dosa-dosa besar yang disenaraikan di sini marilah sama-sama kita melakukan Taubat seandainya kita tersenarai dalam kategori itu, sesungguhnya manusia tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan, namun begitu bukan bererti manusia perlu redha untuk terus kekal melakukan kesilapan.
Dari Anas R.A Meriwayatkan Bahawa Nabi S.A.W Bersabda :
"Setiap Orang melakukan Dosa, dan sebaik-baik orang yang melakukan dosa itu ia Bertaubat"
(Hadis Riwayat Tirmizi)
Mengikut Manhaj Salaf as-Soleh, antara syarat-syarat taubat yang wajib dipenuhi agar taubat diterima oleh Allah Azza wa-Jalla ialah:
1. Berazam dan bertekad untuk meninggalkan (tidak akan mengulangi lagi) perbuatan dosa yang telah dilakukan.
2. Kesal (menyesali) dan berduka di dalam hati terhadap perbuatan dosa yang dibuat.
3. Bersegera meninggalkan dosa yang telah dilakukan semata-mata kerana Allah.
4. Jika dosa yang dilakukan berkaitan dengan orang lain, syaratnya ia wajib membebaskan dirinya dari hak yang bukan miliknya untuk dikembalikan kepada yang berhak atau minta dihalalkan, ini bererti jika berupa harta benda wajib dikembalikan. Jika berupa fitnah, ghibah (umpatan), penghinaan, cacian, kutukan, laknat dan kezaliman, maka wajib meminta maaf daripada orang tersebut terutama terhadap kezaliman yang dilakukan kepadanya.