Tunjuk perasaan bantah filem hantu 'lucah'





JAKARTA: Beratus-ratus anggota Front Pembela Islam (FPI), mengadakan tunjuk perasaan di bangunan pejabat Lembaga Penapis Filem (LSF) di ibu negara Indonesia itu bagi membantah penayangan filem Hantu Puncak Datang Bulan yang dianggap lucah.

Tiga orang ketua pertubuhan itu menemui salah seorang anggota LSF, Anwar Fuadi untuk menyampaikan bantahan mereka.

“Pertubuhan itu membantah tayangan Hantu Puncak Datang Bulan yang mereka anggap lucah. Bagaimanapun kumpulan itu hanya melihat gambar, rakaman video dan risalah yang belum ditapis,” kata Anwar selepas perbincangan dengan FPI.

Anwar berkata Hantu Puncak Datang Bulan sudah diluluskan untuk tayangan dan semua babak berunsur lucah dan keteraluan sudah ditapis.

“Jika ada pun gambar yang berunsur lucah ia adalah kesilapan penerbit yang menggunakannya untuk tujuan promosi filem,” katanya.

Anwar berkata beliau juga sudah mengarahkan semua pawagam agar menangguhkan tayangan filem terbabit bagi mengelak kejadian tidak diingini termasuk rusuhan.



“FPI berkata mereka tidak membantah tayangan filem itu asalkan tiada unsur lucah di dalamnya,” katanya. - Agensi


Sumber : Berita Harian online