Hukum Meminta Bantuan Dengan Jin. Seseorang telah bertanya kepada ustaz apakah hukum berkawan dan meminta bantuan dengan Jin. Sebenarnya kes sebegini memang benar-benar berlaku, tetapi kebiasaanya jin itu sendiri akan menawarkan untuk bersahabat dengan kita.
Sebagai manusia yang mempunyai hijab melihat perkara ghaib, tentu merasakan ia sebagai satu kelebihan yang tidak semua orang tahu. Namun, kita perlu tahu apakah kesannya jika kita secara berterusan dengan jin. Jom baca soal jawab mengenai persoalan ini.
Ustaz,saya di sini ada beberapa soalan:
1.Apakah hukumnya manusia berkawan dengan jin?
2.Apakah hukumnya jika seorang bomoh meminta pertolongan dengan Jin dalam amalan perubatannya?
Jawapan :
Alhamdulillah. Salawat dan salam ke atas Rasulullah.
1. Haram bersahabat dengan makhluk ghaib seperti jin dengan tujuan mendapat pertolongan dalam perkara yang ditegah oleh syarak walaupun dikatakan dengan jin Islam kerana tidak dapat dipastikan sama ada betul Islam atau tidak. Perbuatan ini juga dikhuatiri boleh menjerumuskan pengamalnya kepada perbuatan syirik (menyekutukan Allah Ta’ala).
2. Tidak boleh meminta pertolongan Jin dalam rawatan perubatan sehingga membawa kepada syirik kerana dibimbangi wujud unsur menafikan kudrat Allah.
Menyekutukan Allah, meminta pertolongan dan mengharapkan selain daripada Allah, merupakan amalan yang boleh membawa kita kepada amalan syirik. Sesungguhnya amalan syirik ini merupakan dosa yang tidak diampunkan oleh Allah SWT. Dan orang yang tidak diampunkan oleh Allah, nerakalah tempatnya (nauzubillah).