Didik rakyat bahaya Syiah


Bagi mengekang penyebaran ajaran Syiah, rakyat di negara ini perlu diberikan didikan dan fahaman mengenai bahayanya, kata Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman.

Katanya, rakyat perlukan ruang pemahaman dan penjelasan lebih lanjut oleh mereka yang arif supaya lebih jelas akan Syiah, yang boleh memudaratkan umat Islam sekiranya gagal dikawal penularannya.

“Isu Syiah ini perlu perbincangan. Dalam negara yang mengamalkan al Sunnah Wal Jamaah, ada baik dan tidak baik. Syiah dilihat sudut yang tidak baik di Malaysia.

“Oleh itu, media di negara ini wajar memainkan peranan. Adakan  program yang mendidik seperti rancangan televisyen dan siaran radio membincangkan isu Syiah ini,” katanya.

Zaharuddin berkata, tindakan itu dilihat seiring dengan langkah kerajaan negeri Kedah untuk mewartakan fatwa anti-Syiah. “Saya bersetuju dan menyambut baik cadangan itu, malah negeri-negeri lain juga telah menguatkuasakannya,” katanya.

Beliau juga melihat kewajaran bagi kerajaan mengawal bahan bacaan berunsur Syiah serta peranan masyarakat untuk melaporkan penyebaran Syiah di kawasan mereka. “Tindakan melaporkan itu juga membantu agensi penguatkuasaan menjalankan peranan mereka,” katanya.

Media melaporkan kerajaan Kedah akan menggazet fatwa anti Syiah bagi membanteras fahaman itu yang didapati semakin menular dalam kalangan masyarakat....

- Sinar Harian (21 Julai 2013)