Anda Nak Berjaya, Mesti buat Dua Perkara !!


Matlamat jitu merupakan asas dan kompas menjana kejayaan. Ianya merupakan tunjang pendorong, agar kita tidak mengenal erti putus asa, kecewa dan malas berusaha. Kejayaan dan kesenangan hidup hanya dapat dicapai melalui keberanian dan usaha gigih. Itulah di antara pegangan Paul Getty, seorang billionaire Amerika Syarikat. 
Menurutnya, untuk mencapai kejayaan, kita perlu membuat dua perkara: 
Pertama: TETAPKAN SATU MATLAMAT BESAR  
Kedua: MENCAPAINYA DENGAN PENUH KEBERANIAN!
Nasihat dan saranan ini amat berguna kerana ianya datang daripada seorang yang amat berjaya dalam perniagaannya. Paul Getty membuat kesimpulan ini berdasarkan pengalamannya sebagai seorang usahawan yang bermula sejak dari peringkat bawah hinggalah menjadi seorang billionaire minyak. 



Sebelum mencapai kejayaan, beliau terpaksa menghadapi pelbagai dugaan yang amat mencabar. Namun, wawasannya yang besar serta semangat beraninya yang begitu tinggi menjadi asas pemacu utama kejayaan Paul Getty. Beliau tidak mengenal erti putus asa. Pelbagai kata-kata negatif dilemparkan kepadanya supaya memberhentikan sahaja usahanya yang banyak mengalami kegagalan. Namun, semangat wajanya tetap utuh.

Mencari telaga minyak bukanlah suatu perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi ianya melibatkan usaha pencarian dan penggalian yang memerlukan teknologi yang tinggi dan semangat jitu. Pada masa itu, teknologi pencarian dan penggalian minyak masih agak primitif. Namun, semangat menyala-nyala beliau yang sukar dipadamkan, serta keberanian, usaha gigih dan keyakinannya yang begitu tinggi akhirnya membawa kejayaan besar kepada Paul Getty dalam bidang perniagaan. 
Beliau juga telah meluaskan operasi perniagaannya dengan menjadi pengimport minyak dari negara-negara Timur Tengah. Pengluasan perniagaannya dari segi geografi juga adalah selaras dengan wawasan besar dan semangat berani beliau.

Daripada cebisan kisah hidup Paul Getty ini dapatlah kita simpulkan bahawa: 
  • Kejayaan tidak akan tercapai jika kita hanya mengharapkan nasib. 
  • Untuk mencapai kejayaan, matlamat kita mestilah jelas; berani mencapainya dengan usaha yang tidak mengenal erti penat lelah dan putus asa.